Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Thu Apr 12, 07 12:39:15 PM
(Tafsir Surah al-Maidah ayat 66) Jika mereka beramal dengan apa yang diturunkan oleh Allah nescaya Dia menjamin rezeki mereka dengan menurunkan hujan, hasil bumi yang berkat kepada mereka sebagai kurniaan Allah,
sebagaimana firman-Nya kepada orang-orang yang beriman yang bermaksud: "Kalaulah penduduk negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan yang datang dari langit dan bumi." (Surah al-Anfal: 96)
Allah Taala beri keberkatan kepada mereka. Bagaimanapun ada perbezaan antara berkat dan kekayaan. Ada negeri yang kaya raya tetapi tidak ada keberkatan dalam pentadbiran kerajaannya.
Negeri itu kaya tetapi susah dengan banyaknya maksiat dan sebagainya dengan sebab kekayaan yang diperolehi.
Ini menandakan tidak adanya keberkataan dalam kekayaan yang diperolehi itu akibat penyalahgunaan kekayaan untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Allah SWT.
Sementara perkataan berkat hanya ada dalam Islam sahaja. Dalam ilmu ekonomi Barat tidak ada perkataan berkat. Begitu juga semua sistem atau teori Barat termasuk kapitalisme, liberalisme, nasionalisme, sosialisme, komunisme, dan sebagainya tidak ada persoalan yang berkaitan dengan keberkatan. Apa yang ada ialah persoalan kekayaan, kesenangan dan kemajuan.
Berkat bermakna sekiranya kita kaya, kita menjadi baik dengan kekayaan yang diperolehi. Rezeki yang sedikit membawa kebaikan yang banyak.
Berkat yang dikurniakan oleh Allah apabila seseorang itu beriman dan bertakwa. Ini perkara yang dijanjikan oleh Allah.
Tetapi Allah Taala nyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Telah zahir keburukan di darat dan di laut hasil dari kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka kerjakan mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah." (Suratur Rum: 41)
Senang pada zahirnya tetapi susah pada hakikatnya. Antara lain ialah duit banyak tetapi tidak tahu bagaimanakah cara menggunakannya.
Wang yang digunakan untuk membuat sesuatu, tidak memberi faedah dan tidak mendatangkan pahala serta kebaikan daripada Allah SWT.
Ini adalah janji dari Allah untuk mengurniakan rezeki kepada orang Yahudi. Wahai orang Yahudi, wahai ahlil kitab, masuk Islamlah kamu. Kamu tegakkan Taurat dan Injil, nescaya kamu selamat.
Ramai di kalangan pendita-pendita Yahudi takut masuk Islam. Mereka menyangka Jika masuk Islam mereka akan bertukar perwatakan, yang menjadi pemimpin tidak lagi menjadi pemimpin, dan yang kaya menjadi miskin.
Mereka nampak dunia semata-mata tetapi mereka tidak nampak apakah kebaikan yang akan diperolehi di hari akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w. menyatakan kepada orang yang beriman dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim bahawa suatu hari Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud; "Hampirlah ilmu itu dihilangkan oleh Allah."
Dalam hadis yang lain diriwayatkan bahawa makna menghilangkan ilmu itu ialah dimatikan ahli-ahli ilmu (para ulama). Sementara orang Islam tidak beramal dengan ilmu.
Akibat itu ilmu menjadi hilang dan ilmu yang paling pertama hilang ialah ilmu pembahagian harta pesaka yang menjadikan tanda hampirnya kiamat, sehingga tidak ada seorang pun yang mengetahui cara pembahagian harta pusaka mengikut hukum Islam.
Ada perancangan di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan sistem pembahagian pusaka menurut Islam kerana mendakwa kononnya Islam tidak berlaku adil terhadap lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka.
Akhirnya perancangan itu akan berjaya sekiranya orang Islam tidak mempertahankan hukum Islam. Bila para ulama membisu seribu bahasa, tidak berani menegakkan yang hak, akhirnya Allah Taala menghilangkan ilmu dengan mematikan ulama.
Apabila Nabi s.a.w. mengatakan hampirlah diangkat ilmu, lalu seorang sahabat yang bernama Ziad bin Labit berkata, "wahai Rasulullah, bagaimana diangkatkan ilmu pada hal kami membaca al-Quran dan kami mengajarkannya kepada anak-anak kami."
Dalam satu riwayat yang lain, "kami ajar kepada anak-anak kami, anak-anak kami pula mengajar kepada cucu-cucu kami, cucu-cucu kami mengajar kepada cicit-cicit kami, mana boleh diangkatkan ilmu."
Nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud; "Apakah engkau ni wahai Ibnu Labit, sesungguhnya aku berpendapat engkaulah orang yang paling faham di kalangan penduduk Madinah. Tetapi di dalam perkara ini kamu tidak memahaminya."
"Tidakkah, Taurat dan Injil berada di tangan orang-orang Yahudi dan Nasara? Taurat dan Injil tidak boleh berbuat apa-apa kepada mereka itu kerana mereka meninggalkan perintah Allah. Allah berfirman yang bemaksud; "kalaulah sekiranya mereka itu menegakkan Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka itu boleh makan rezeki dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di kalangan mereka itu ada golongan yang sederhana dan kebanyakan mereka itu alangkah buruknya apa yang mereka lakukan." (Surah al-Maidah:66) - lanh
Hari Ini :
Muhammad Photo Album.Ahlan ila Muhammad Fawwaz El-Afif Site
Tuesday, May 15, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment