Tuan Guru Haji Hadi
Wednesday, 15 February 2006
Tafsir Surah al-Maidah ayat 52
Ulama Islam dalam semua mazhab bersepakat menyatakan bahawa negeri yang pernah dikuasai oleh Islam wajib dibebaskan dari sebarang penjajahan jahiliyyah.
Bahkan negeri Islam yang bersempadan dengan wilayah berkenaan menjadi fardhu ain berjihad membebaskan wilayah atau negara berkenaan.
Adapun mengadakan hubungan diplomatik dengan negara kafir yang Islam belum lagi menakluk negara berkenaan, ini suatu hal lain.
Hubungan diplomatik ini diizinkan oleh Islam untuk memberi peluang kepada negara Islam berdakwah dengan negara berkenaan dan memberi peluang menghadapi musuh yang lebih besar.
Islam tidak membenarkan umanya mengadakan hubungan diplomatik dengan negara yang haram kewujudannya hasil rampasan dari negara Islam. Juga negara-negara yang dahulunya pernah menjadi wilayah Islam, kewajipan kepada orang Islam membebaskan negara-negara berkenaan dari penjajahan kuffar.
Sebaliknya haram orang Islam membiarkan negara-negara ini terus ditakluki oleh musuh Islam.
Bagaimanakah sekiranya orang kafir membenarkan oarng Islam melaksanakan ibadat haji tanpa apa-apa halangan di negara berkenaan?
Sebagai jawapannya Islam bukan sekadar ibadat itu sahaja bahkan Islam mestilah ditegakkan dasar Islam semua aspek termasuk hukum-hakam Islam di sesebuah negara itu.
Yang menjadi masalah sekarang ialah bukan sahaja negara yang ditakluki oleh orang kafir tidak melaksanakan undang-undang Islam bahkan negara yang terdiri dari ramai orang Islam sendiripun tidak melaksanakan tanggungjawab melaksanakan Islam.
Mereka tidak ubah seperti buih sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam satu hadithnya yang bermaksud:
“Kamu menjadi seperti buih sebagaimana buih yang dihanyut oleh air banjir kerana kasihkan dunia dan benci kepada mati.”
Kasih kepada dunia seolah-olah mahu kekal hidup di dunia ini buat selama-lamanya sekaligus benci kepada mati. Walaupun demikian mati tetap datang kepada sesiapa sahaja di dunia ini. Punca benci kepada mati ialah kerana banyak melakukan maksiat.
Kesimpulannya, orang Islam diharamkan bermuwalah (berkawan rapat dan berpersetiaan) dengan orang kafir.
Adapun mengadakan hubungan perdagangan dengan orang kafir dibenarkan oleh syarak. Allah Ta’ala memberi jaminan di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Maka mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan atau suatu urusan dari sisi-Nya. Maka mereka (golongan munafiqin) terasa menyesal akibat dari apa yang mereka sembunyikan dari mereka sendiri” (Surah al-Maidah: 52).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang Islam akan menang termasuk dengan menawan Makkah dan berjaya menghalau orang-orang Yahudi dari bumi Makkah sekaligus dari bumi Hijaz apabila mereka melanggar perjanjian dengan orang Islam. Mereka terus dihalau dari Semenanjung Tanah Arab.
Ayat ini bukan sahaja relevan di zaman Nabi s.a.w. tetapi relevan juga di sepanjang zaman.
Jika orang Islam yakin kepada Allah, Dia akan memberi kemenangan kepada orang Islam dengan syarat mereka ikhlas.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan bersedialah kamu dengan kekuatan sekadar kemampuan kamu.” (Surah al-Anfal:60).
Umat Islam hendaklah menyediakan kekuatan dengan penuh keikhlasan, jangan menyembunyikan kemampuan yang diberi oleh Allah.
Contoh yang paling dekat dengan kita ialah, Afghanistan. Rusia merupakan antara kuasa besar dunia yang menakluk Afghanistan. Rusia mempunyai kuasa nuklear yang lebih dahsyat daripada bom atom berjaya menakluk Afghanistan dengan menggunakan segala alat moden yang ada.
Orang Afghanistan berdiri di atas nama jihad menentang Rusia dan dengan beraninya mereka merampas segala senjata yang ada pada tentera Rusia.
Senjata Rusia ini juga diberi oleh Allah kepada orang Islam dan orang Islam menentang Rusia sehingga mustakbirin itu menyerah kalah.
Yang menjadi masalahnya pada hari ini ialah orang Afghanistan lupa kemenangan yang diberi oleh Allah itu.
Sumber Harakah : 1-15 Feb 2006
Hari Ini :
Muhammad Photo Album.Ahlan ila Muhammad Fawwaz El-Afif Site
Saturday, May 19, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment